WhatsApp: 6.019.234.8786 (Sanusi PMB Investment KL)

Saturday, July 7, 2012

Mengenali pasaran modal Islam

Apakah produk pasaran modal Islam? Produk pasaran modal Islam di Malaysia mula berkembang sejak dua dekad lepas. Pada hari ini, ia sudah hampir matang sepenuhnya hasil pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh pemegang kepentingan utama dan sokongan kukuh dan strategi proaktif kerajaan Malaysia.
Pasaran modal memainkan peranan penting untuk menyokong pembangunan ekonomi negara sebagai sumber pembiayaan utama bagi pelbagai sektor, daripada pertanian kepada infrastruktur, di samping secara sendirinya menjadi penyumbang besar kegiatan ekonomi.
Dengan perkembangan pasaran modal Islam, pembiayaan boleh dilaksanakan dengan pematuhan penuh kepada prinsip dan piawaian Syariah.
Pilihan sekuriti Islam yang ditawarkan oleh pasaran Malaysia adalah luas dan pelbagai. Lazimnya ia boleh dibahagikan kepada tiga kategori asas:
Pertama sekali, terdapat struktur "Pendapatan Tetap", yang terdiri daripada Sukuk (bon/sekuriti Islam). Contohnya ialah pelbagai Sukuk yang dikeluarkan oleh syarikat terkemuka Malaysia seperti Khazanah Nasional dan Petronas dan juga syarikat multinasional seperti Nestle, Tesco dan Toyota.
Kedua ialah sekuriti ekuiti. Sekuriti ini terdiri daripada saham patuh Syariah, Indeks Ekuiti Islam, Amanah Pelaburan Hartanah Islam (REIT) Islam, Dana Dagangan Bursa dan Dana Unit Amanah berasaskan Syariah. Seperti ekuiti biasa, ia berkaitan dengan pelaburan atau perdagangan dalam saham syarikat tersenarai awam.
Perbezaan utama ialah pematuhan ketat kepada prinsip Islam dalam pemilihan saham yang boleh dilaburkan.
Akhir sekali ialah instrumen hibrid atau campuran. Ini merupakan Sukuk dengan ciri ekuiti yang terbenam atau produk pelaburan berstruktur Islam.
Dalam ruangan seterusnya, kami akan meneroka setiap satu kategori dan cuba memahami bagaimana ia berfungsi dan bagaimana orang ramai boleh melibatkan diri dengan cara yang lebih bermakna dalam pelaburan tersebut.

(Utusan Malaysia/7 Julai 2012)