WhatsApp: 6.019.234.8786 (Sanusi PMB Investment KL)

Thursday, December 26, 2013

Kadar simpanan asas baharu KWSP Januari 2014

KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengingatkan ahlinya berhubung kuantum baharu Simpanan Asas, yang menetapkan RM196,800 sebagai amaun minimum ahli yang perlu ada dalam akaun KWSP mereka menjelang umur 55 tahun, berkuat kuasa bulan depan.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, kadar baharu itu ditanda aras dengan pencen minimum pekerja sektor awam, yang bersamaan RM820 sebulan untuk tempoh 20 tahun dari umur 55 hingga 75 tahun.

Beliau berkata, ia akan disemak setiap tiga tahun berdasarkan kepada keperluan persaraan, kadar inflasi dan kos hidup.

"Dengan mengambil kira faktor kos hidup yang semakin meningkat, jangka hayat rakyat Malaysia yang panjang serta kadar inflasi, KWSP telah membuat keputusan meningkatkan Simpanan Asas untuk memastikan 13 juta ahlinya mempunyai tahap simpanan yang mencukupi bagi menikmati persaraan yang mampan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Affendi berkata Simpanan Asas semasa ialah RM120,000 pada umur 55 (RM500 sebulan bagi tempoh 20 tahun) mungkin tidak mencukupi bagi menampung persaraan ahli kerana berada di bawah garis kemiskinan.

Selain itu, katanya, statistik KWSP menunjukkan 71 peratus ahli bersara pada umur 55 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000 dalam akaun KWSP mereka.

Nik Affendi berkata, kadar yang disemak semula ini memerlukan ahli mempunyai simpanan yang lebih tinggi dalam akaun KWSP bagi membolehkan mereka layak menyertai Skim Pelaburan Ahli KWSP di mana simpanan mereka boleh dilaburkan dalam unit amanah.

"Ini untuk memastikan ahli mempunyai simpanan yang mencukupi dalam akaun KWSP apabila mereka bersara bagi membiayai keperluan asas persaraan sebelum boleh memilih untuk melabur dalam pelaburan lain," katanya.

Beliau berkata, antara inisiatif yang diperkenal KWSP untuk mempertingkat simpanan persaraan ahli ialah kadar caruman majikan sebanyak 13 peratus untuk pekerja yang bergaji RM5,000 dan ke bawah.

"Selain itu, kadar caruman penuh KWSP untuk pekerja sehingga umur 60 tahun dan Pengeluaran Fleksibel Umur 55 tahun yang membenarkan ahli untuk memanjangkan simpanan KWSP mereka bagi tempoh yang lama," katanya.

Bagi membantu ahli merancang persaraan mereka, Nik Affendi berkata KWSP akan memperkenal perkhidmatan penasihat kewangan kepada ahli mulai tahun depan dengan projek perintis di Lembah Klang sebelum diperluas ke seluruh negara dalam tempoh tiga tahun. - Bernama

Sunday, September 8, 2013

SC pinda garis panduan unit amanah

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Suruhanjaya Sekuriti (SC) sedang meminda Garis Panduan Unit Amanah bagi mengadakan struktur pelbagai kelas produk unit amanah.
Pengerusinya, Tan Sri Zarinah Anwar berkata, pindaan itu akan membolehkan dana unit amanah tunggal menawarkan pelbagai kelas unit dengan setiap kelas memiliki ciri-ciri berbeza seperti yuran dan bayaran yang dikenakan serta dan mata wang yang digunakan.
Katanya, peningkatan tahap produk sofistikated dan pilihan pengagihan yang ditawarkan berdasarkan keperluan industri perlu selaras dengan piawaian tinggi pengendalian dan pemberitahuan jualan.
''Kita akan sentiasa mengkaji garis panduan sedia ada berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pelbagai pemegang kepentingan, selain pemantauan pembangunan antarabangsa.
''Industri ini berkembang dan kita perlu lebih inovatif, mencari jalan baru yang lebih baik untuk memberi pelabur banyak pilihan bagi memenuhi kehendak mereka,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian Anugerah Edge-Lipper Starmine 2010 di sini hari ini.
Sebagai contohnya, katanya, para pelabur diberi pilihan untuk memilih atau membayar yuran pendahuluan dengan yuran tahunan lebih rendah atau yuran tahunan lebih tinggi bagi menggantikan yuran pendahuluan.
Tambah beliau, pendekatan tersebut akan membolehkan pelabur mendapat padanan yang lebih baik bagi rujukan pelaburan untuk kumpulan pelabur berbeza.
Zarinah berkata, dengan pilihan mata wang akan memberi kemudahan pemasaran kepada pelabur asing yang melabur secara terus dalam mata wang masing-masing berbanding terpaksa melakukan pertukaran mata wang dalam ringgit ketika ini.
''Pendekatan ini juga adalah sama sekiranya pelabur tempatan mahu terdedah kepada pelaburan asing,'' ujarnya.
Terdahulu, ketika menyampaikan ucaptamanya, Zarinah menyeru industri unit amanah tempatan terus meluaskan rangkaian produk dan pasarannya.
Tegas beliau, negara mempunyai kelebihan sebagai pusat Pasaran Modal Islam dan kini memiliki 144 unit amanah berlandaskan Syariah.
Beliau menambah, pengantara unit amanah tempatan merupakan yang terbaik di rantau ini dan mempunyai kedudukan baik untuk memainkan peranan signifikan dalam arena serantau.
''Sekarang industri mesti meningkatkan cabaran dengan meluaskan rangkaian dengan pasaran-pasaran lain dan memperbaiki kecekapan di peringkat antarabangsa, dengan kelebihan kemudahan rangka kerja perundangan yang telah diwujudkan,'' katanya.

(Utusan Malaysia/4 Februari 2010)