WhatsApp: 6.019.234.8786 (Sanusi PMB Investment KL)

Sunday, September 8, 2013

SC pinda garis panduan unit amanah

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Suruhanjaya Sekuriti (SC) sedang meminda Garis Panduan Unit Amanah bagi mengadakan struktur pelbagai kelas produk unit amanah.
Pengerusinya, Tan Sri Zarinah Anwar berkata, pindaan itu akan membolehkan dana unit amanah tunggal menawarkan pelbagai kelas unit dengan setiap kelas memiliki ciri-ciri berbeza seperti yuran dan bayaran yang dikenakan serta dan mata wang yang digunakan.
Katanya, peningkatan tahap produk sofistikated dan pilihan pengagihan yang ditawarkan berdasarkan keperluan industri perlu selaras dengan piawaian tinggi pengendalian dan pemberitahuan jualan.
''Kita akan sentiasa mengkaji garis panduan sedia ada berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pelbagai pemegang kepentingan, selain pemantauan pembangunan antarabangsa.
''Industri ini berkembang dan kita perlu lebih inovatif, mencari jalan baru yang lebih baik untuk memberi pelabur banyak pilihan bagi memenuhi kehendak mereka,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian Anugerah Edge-Lipper Starmine 2010 di sini hari ini.
Sebagai contohnya, katanya, para pelabur diberi pilihan untuk memilih atau membayar yuran pendahuluan dengan yuran tahunan lebih rendah atau yuran tahunan lebih tinggi bagi menggantikan yuran pendahuluan.
Tambah beliau, pendekatan tersebut akan membolehkan pelabur mendapat padanan yang lebih baik bagi rujukan pelaburan untuk kumpulan pelabur berbeza.
Zarinah berkata, dengan pilihan mata wang akan memberi kemudahan pemasaran kepada pelabur asing yang melabur secara terus dalam mata wang masing-masing berbanding terpaksa melakukan pertukaran mata wang dalam ringgit ketika ini.
''Pendekatan ini juga adalah sama sekiranya pelabur tempatan mahu terdedah kepada pelaburan asing,'' ujarnya.
Terdahulu, ketika menyampaikan ucaptamanya, Zarinah menyeru industri unit amanah tempatan terus meluaskan rangkaian produk dan pasarannya.
Tegas beliau, negara mempunyai kelebihan sebagai pusat Pasaran Modal Islam dan kini memiliki 144 unit amanah berlandaskan Syariah.
Beliau menambah, pengantara unit amanah tempatan merupakan yang terbaik di rantau ini dan mempunyai kedudukan baik untuk memainkan peranan signifikan dalam arena serantau.
''Sekarang industri mesti meningkatkan cabaran dengan meluaskan rangkaian dengan pasaran-pasaran lain dan memperbaiki kecekapan di peringkat antarabangsa, dengan kelebihan kemudahan rangka kerja perundangan yang telah diwujudkan,'' katanya.

(Utusan Malaysia/4 Februari 2010)

No comments:

Post a Comment